TAWAU, 29 Mei (Bernama) -- Kampung Titingan, perkampungan tertua di pinggir bandar di sini bakal berubah wajah berikutan cadangan membangunkan kawasan itu sebagai Bandar Baharu Titingan, tidak lama lagi.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Apas, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata projek bandar baru berkonsep mesra alam dengan kos pembinaan kira-kira RM5 bilion itu akan mula dilaksanakan sebaik diluluskan kerajaan.

"Projek ini akan mentransformasi Kampung Titingan dari sebuah perkampungan bermasalah dan disenarai hitam kepada bandar berdaya maju serta memanfaatkan masyarakat tempatan.

"Kita akan pastikan penduduk asal kampung ini tidak terabai dan dipinggirkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penubuhan Koperasi Binaan Tawau Sabah (KOBET) di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan Tawfiq yang juga Menteri Belia dan Sukan Sabah turut menyaksikan perjanjian persefahaman antara KOBET dan pemaju projek Bandar Baru Titingan iaitu Akar Budi Tuah Sdn Bhd.

Menurut Tawfiq apabila projek berkenaan dilaksanakan kelak, ia diyakini dapat menyelesaikan pelbagai permasalahan sosial, kesihatan, penyeludupan, dadah, pengangguran, gengsterisme dan kemasukan pendatang asing tanpa izin yang sering dikaitkan dengan Kampung Titingan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Akar Budi Tuah Sdn Bhd, Dr Ismail Idris berkata, projek bandar baru itu terbahagi kepada beberapa fasa dan bakal menjadi mercu tanda, bukan sahaja untuk daerah Tawau malah negeri Sabah.

Katanya apabila siap kelak, Bandar Baru Titingan akan memiliki pelbagai kemudahan seperti pusat komersil, bank, hotel, taman perumahan rakyat, pusat pendidikan, kesihatan, kemudahan sukan dan rekreasi.

Dr Ismail berkata projek itu akan mengambil masa antara 10 hingga 15 tahun untuk disiap sepenuhnya dan fasa pertama akan bermula di hujung kawasan Ba Zhong Commercial Centre hingga ke Perumahan Taman Sri Titingan, melibatkan kawasan seluas 7.3 hektar.

-- BERNAMA
Categories:

0 comments:

Catat Ulasan

Subscribe to RSS Feed Follow me on Twitter!